Wednesday, July 27, 2011

HIDUP ADALAH SEBUAH PELAYARAN



Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:

“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

Sunday, July 17, 2011

MOTIVASI

Usai solat Subuh sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.

Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.

Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!

Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok. Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.

Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may… pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.

Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.

Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.

Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.

Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!

Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!


Tuesday, July 12, 2011

CINTA 100%



Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada isterimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyuman,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…

Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

Monday, July 11, 2011

PERSARAAN TN. HJ. ADIRIS BIN BASIR

SETIA BUDI SEMARAK KASIH
(08 Julai 2011, Jumaat)

Tiba jua di persimpangan ini,
Barulah kita tahu besarnya erti budi,
Makna jalinan kasih yang abadi,

Semarak mesra yang mercup dalam manis bicara,
Dan nilai setia semua yang ada,
Mengadun citra seanggun permata,
Terukir dalam jiwa bahagia.

Setia di sini untuk melengkapi waktu,
Menenun harapan dengan iltizam dan restu,
Tanpa curiga menusuk rasa,
Lantaran di sini semua saudara,
Penghibur duka pemulih lara,
Penyambung pesona ke usia bersara.

Budi segunung tercurah dalam rencana,
Bakal mengerdip sinar kemilau arca kencana,
Terhias di dinding minda, memarak asas wacana,
Meruap bangga memangkin kesima,
Melarik teladan ikutan bermakna.

Semarak rindu kami nanti,
Mengenang detik manis yang semakin sepi,
Hilang bicara mesra, lupus kiranya gurau senda,
Jarak dan ruang pasti semakin dirasa,
Justeru langkah dan arah kian berbeza.

Kasih ini tetap kukuh,
Terpahat dalam ingatan yang teguh,
Terbit dari ikatan ukhuwah yang ampuh,
Rindu nostalgia di sini berlabuh.

Setia budi semarak kasih,
Untukmu tuan insan terpilih,
Pergimu tuan bukan tersisih,
Budimu tuan di hati membenih.
Setia budi semarak kasih,
Tuan berangkat kami yang merintih

Sunday, July 10, 2011

PERASAAN TAKUT


Satu bahagian penting daripada tindakan yang akan membuka fikiran kepada keyakinan ialah menyingkirkan fikiran daripada perasaan yang membataskan kepercayaan. Ada tujuh perasaan takut yang menjadi dasar. Hampir setiap orang menderita paling kurang satu perasaan takut; beberapa orang di antara kita harus menaklukinya. Di bawah ini adalah ketujuh-tujuh perasaan takut, bagaimana mengenali kehadirannya dalam kehidupan dan bagaimana menyingkirkannya.

1. Perasaan takut kemiskinan
2. Perasaan takut kritikan
3. Perasaan takut gangguan kesihatan
4. Perasaan takut kehilangan cinta
5. Perasaan takut usia tua
6. Perasaan takut kehilangan kebebasan
7. Perasaan takut kematian

Friday, July 8, 2011

10 TEKNIK KHAS


Sepuluh teknik yang digunakan oleh guru dan jurulatih bagi berhubung dan mempercepat proses pembelajaran :

1. Bertanya soalan pngenalan.
2. Mendapatkan jawapan pantas dengan suara lantang.
3. Tegas mendapatkan jawapan
4. "Ulangi selepas saya.."
5. Minta pelajar isikan ruangan kosong.
6. "Ini perkara penting, catatkannya"
7. Mengubah tenga dalam bilik darjah.
8. Berkongsi dengan rakan sebelah.
9. Berkongsi dalam kumpulan kecil.
10. Kesimpulan bagi setiap kumpulan

Sumber : Law Of Connection, Michael J. Losier

Sunday, July 3, 2011

RAHSIA CINTA


RENUNG
- Kuasa paling kuat dalam dunia adalah CINTA.
- Manusia sanggup melalukan apa sahaja demi cinta.

FIKIRKAN
Menurut Mother Teresa ramai manusia mati bukan
disebabkan kurang makan TETAPI kurang kasih sayang.

INGAT
- Lakukan apa saja dengan perasaan SAYANG..
- sayangi diri anda.
- Buang persasaan benci, sudah pasti sayang akan datang.

TIPS
- Mulakan perasaan kasih-sayang dengan anda menyayangi diri anda.
- Sayang boleh dipupuk, jadi pupuklah minat dan sayang kepada setiap apa yang kita.
- Jika sayang belum menjelma mulakan dengan perasaan kesihan atau simpati.

Saturday, July 2, 2011

RAGU


Ada sesuatu yang ingin aku katakan padamu,
tapi aku ragu,
akankah engkau mendengar kata-kataku,
menyemak segala keluh-kesahku,
menatapku dengan pandangan hangatmu,
segala sesuatu tetap saja begitu,
tak pernah sanggup,
tak pernah mampu,
untuk mengungkapkan rasa,
hanya mampu menatapmu,
dari relung hatiku.

Friday, July 1, 2011

KASIH


Patah ranting bercerai kuntum,
meniti belati menusuk jantung;
resah kasih menanti cantum,
isi berita tak mahu kunjung,

lelah mencari ke laut sepi,
berlabuh cinta di pangkal bicara;
rindu sudah di rantai hati,
namun hilang jiwa ke mana,

cendara pura indahnya kota,
beradu puteri cendana sari,
lapangkan dada segarlah jiwa,
barukan nampak isinya hati.