Showing posts with label Emosi. Show all posts
Showing posts with label Emosi. Show all posts

Sunday, July 17, 2011

MOTIVASI

Usai solat Subuh sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.

Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.

Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!

Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok. Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.

Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may… pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.

Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.

Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.

Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.

Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!

Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!


Sunday, July 3, 2011

RAHSIA CINTA


RENUNG
- Kuasa paling kuat dalam dunia adalah CINTA.
- Manusia sanggup melalukan apa sahaja demi cinta.

FIKIRKAN
Menurut Mother Teresa ramai manusia mati bukan
disebabkan kurang makan TETAPI kurang kasih sayang.

INGAT
- Lakukan apa saja dengan perasaan SAYANG..
- sayangi diri anda.
- Buang persasaan benci, sudah pasti sayang akan datang.

TIPS
- Mulakan perasaan kasih-sayang dengan anda menyayangi diri anda.
- Sayang boleh dipupuk, jadi pupuklah minat dan sayang kepada setiap apa yang kita.
- Jika sayang belum menjelma mulakan dengan perasaan kesihan atau simpati.

Saturday, July 2, 2011

RAGU


Ada sesuatu yang ingin aku katakan padamu,
tapi aku ragu,
akankah engkau mendengar kata-kataku,
menyemak segala keluh-kesahku,
menatapku dengan pandangan hangatmu,
segala sesuatu tetap saja begitu,
tak pernah sanggup,
tak pernah mampu,
untuk mengungkapkan rasa,
hanya mampu menatapmu,
dari relung hatiku.

Friday, July 1, 2011

KASIH


Patah ranting bercerai kuntum,
meniti belati menusuk jantung;
resah kasih menanti cantum,
isi berita tak mahu kunjung,

lelah mencari ke laut sepi,
berlabuh cinta di pangkal bicara;
rindu sudah di rantai hati,
namun hilang jiwa ke mana,

cendara pura indahnya kota,
beradu puteri cendana sari,
lapangkan dada segarlah jiwa,
barukan nampak isinya hati.

Tuesday, June 28, 2011

MONOLOG HATI SENDIRI


Kadang-kadang, apabila siang kita merindui rembulan,
apabila malam kita bertanya ke mana pula mentari,
sering kita tangisi hanya apabila ia tak lagi di sisi.

Aku tak mahu jadi begini, maka malamku bersama rembulan,
kusyukuri, kunikmati,
walau terkadang malamku suram,
maka siangku bersama mentari,
kusyukuri, kinikmati,
walaupun terkadang bahangnya perit.

Segalanya perlu disyukuri,
kerana yang membuat terasa derita bukanlah sekeliling,
bukan mentaribukan rembulan tapi hati di dalam,
bisikan itu masih kudengari,
kalimah suci menggamit hati nurani,
bisikan itu terasa semalam,
berlalu di bawa bayu melintas sepintas lalu,
bisikan itu masih kuingati,
kerana kutahu ia akan kembali menggamit diri,
menemui Ilahi, bisikan itu makin terasa kehadirannya,
sedetik, dua detik,
tiga detik... lailahaillallah ya Allah,
aku menghadap-Mu,
kembali kepada-Mu,
terimalah diriku, lailahaillallah.

Friday, June 17, 2011

"LIFE IS NOT BY CHANCE BUT BY CHOICE"




Bismillahirrahmanirrahim,
(Buat Anak cucu Abi)

Hari ini Abi terpanggil untuk menulis dan berkongsi tentang "Membuat Pilihan" dalam hidup ini (setelah menerima panggilan dariapda anak Abi. Alif anak sulung Abi akan menghadiri temuduga untuk menggarap suatu pekerjaan). Abi teringat bait kata-kata daripada buku yang Abi baca : "Life is not by chance but by choice, If you decide not to choose then you've already made the wrong choice."


Katakan kita akan menghadiri suatu seminar di sebuah hotel yang bertaraf lima bintang. Pakaian apakah yang akan kita pakai? Warna apa yang kita akan pilih? Kasut mana yang akan kita pakai? pergi seorang? Pukul berapa kita patut sampai? Ini contoh situasi membuat pilihan. Mungkin ianya mudah.

Setiap hari kita berhadapan dengan banyak pilihan. Antaranya makanan, pakaian, waktu bangun, teman berbual, kelajuan memandu kereta, dan seribu satu piliihan harian hinggalah kepada teman hidup, jenis pekerjaan, pembelian rumah, pertubuhan sosial yang merupakan pilihan jangka panjang atau seluruhan kehidupan. Kita tidak sunyi daripada situasi membuat pilihan. Malah terlalu banyak pilihan yang mesti dibuat sehingga kadang-kadang membinggungkan kita. Apa pun, pilihan yang kita buat akan meninggalkan kesan dan akibat sama ada positif atau sebaliknya.

Pilihan keperluan akan menentukan cara kita bertindak yang boleh membawa impak yang lebih ketara dalam kehidupan kita. Pilihan yang dimaksudkan di sini ialah pilihan berhubung dengan fikiran dan emosi kita. Minda akan didedahkan dengan pelbagai pilihan yang tidak terkira banyaknya. Setiap pilihan akan membawa kesan pada sikap dan reaksi kita. Sama ada kita akan menjadi gembira, seronok ketawa atau sebaliknya kita menjadi sedih, marah dan seribu macam lagi yang akan ditentukan oleh pilihan emosi dan fikiran yang dibuat oleh minda. Kesan pilihan minda lebih hebat kerana ia akan menentukan sama kita boleh berjaya atau gagal.

Oleh itu, kita perlulah berfikir sebelum membuat pilihan berdasarkan fizikal dan mental yang terbaik, bagi membentuk sebuah kehidupan yang kita inginkan. Setiap pilihan ada kesannya. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati serta bijak membuat pilihan. Pilihan yang dibuat oleh minda dan tubuh kita sentiasa akan mewjudkan pelbagai kesan dan akibat kemudiannya. Ingatlah pilihan kita mewujudkan.

Friday, June 3, 2011

BAHAGIA




Apakah erti Bahagia ?

Secara mudah kebahagian itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras dengan petunjuk Allah dalam al-Quran. Firman bermaksud : "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd 13:38)

Friday, May 27, 2011

CINTA 2 : SALAHKAH REMAJA BERCINTA? Buat Renungan Anak Cucu Abi


REMAJA selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Jawapannya tidak salah. Bercinta memang tidak salah justeru ia adalah fitrah tabi'e yang Allah kurniakan kepada setiap insan. Ingin cinta dan dicintai adalah naluri setiap manusia. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta itu fitrah, tentulah tidak salah untuk merasai dan menikmatinya. Jika salah masakan tuhan mengeruniakan rasa cinta? Allah maha mengetahui, Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dikurnikanNya rasa cinta pasti ada maksud dan tujuan.

Namun Allah tidak mengeruniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja. Justeru, DIA juga telah mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh manusia, khusus para remaja. Rasa cinta tidak tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya 'cinta terlarang', yakni cinta yang menafikan prinsip dan melanggar peraturan dari Allah.

Ketika itu fitrah akan bertukar menjadi fitnah. Bila kehendak tabi'e tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan Allah, berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Jadi janganlah kita hanya mengakui cinta itu dari Allah, tetapi akuilah juga adaNYA peraturan cinta yang juga datang dari Allah.

Tuesday, May 24, 2011

CINTA 1 : SEBUAH HADIAH

Hari ini Abi terpanggil menulis tentang CINTA. Cinta umpama hadiah daripada Allah. Kita gembira dan suka apabila menerima hadiah. Namun, wajarkah hadiah lebih dicintai daripada Pemberi hadiah? Jawabnya tepuk dada, tanya iman di dalam jiwa. Tentulah pemberi hadiah. Malangnya, apa yang berlaku kekadang lebih daripada itu. Pujaan, sanjungan dan sikap mengagung-agungkan cinta dan kekadang sampai ke tahap 'mempertuhankan' cinta. Seolah-olah cinta segala-segalanya. Padahal dalam realitinya, cinta yang sebegitu selalunya sirna setelah diuji di dalam alam rumah tangga. Sementara belum dapat.... dipuji dan puja, tetapi setelah dapat, segala kemanisan hilang. Apa yang tak kena dengan cinta itu?

Abi teringat kata hukama "Untuk bahagia, cintailah sesiapa yang menyinta anda, bukan sesiapa yang anda cintai."