Saturday, September 10, 2011

ABC BAGI MENENTUKAN PRIORITI



Salam Sukses!

Anak cucu Abi tahu betapa pentingnya menentukan prioriti dalam kerja seharian, tetapi sering kali tidak tahu bagaimana hendak menentukan prioriti bukan? Mungkin kita boleh gunakan kaedah ABC. Kaedah ini sememangnya banyak disebut oleh pakar-pakar pengurusan, antaranya Alan Lakein. Kaedah ABC begitu dihargai sehingga dianggap sebagai ‘datuk’ kepada strategi menentukan prioriti.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Kategorikan tugasan-tugasan kita kelas kepada tiga jenis tugasan iaitu A, B, dan C seperti berikut:

1) Tugasan A adalah tugasan yang mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai pelaksanaannya, tugasan seperti ini dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, ia membawa bencana, kesusahan dan kerugian kepada hidup kita. Unsur segera juga sangat penting dalam tugasan A.

2) Tugasan B pula adalah tugasan yang saudara patut lakukan tidak lama lagi. Ia juga penting tetapi tidaik sepenting tugasan A. Ia boleh ditangguhkan, tetapi tidaklah terlalu lama. Bahkan, mungkin dalam beberapa jam kemudian tugasan B boleh bertukar menjadi tugasan A.

3) Tugasan C adalah tugasan yang boleh diketepikan tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Kita masih boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat apabila kita terpaksa mengabaikannya. Kita juga boleh melambat-lambatkan sesetengah tugasan ini kerana ada tugasan yang tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir pun, jaraknya masih jauh lagi. Namun, Tugasan C boleh juga bertukar menjadi tugasan A dan B apabila tarikh akhir menjadi semakin hampir.

Tidak cukup tiga kategori ini? Jangan bimbang, kerana ada satu lagi kategori tugasan ‘tambahan’ bagi kita. Ia dipanggil ‘tugasan D’. Apakah itu tugasan D? Tugasan D adalah kerja-kerja, yang secara teorinya saudara tidak perlu melakukannya. Biasanya tiada tarikh akhir.

Sekiranya kita tidak melakukannya, hidup kita tidak terjejas dan tiada masalah yang akan timbul. Tetapi apabila kita berjaya melaksanakannya, kita berasa seronok dan puas. Kadangkala, apabila kita melakukannya (semasa kita tidak ada perkara lain hendak dibuat), kita akan memperoleh ‘habuan’ yang tidak disangka-sangka.

Contohnya kita mengisi beberapa minit masa terluang bagi menelefon rakan sekolah lama selepas lima tahun tidak bertanya khabar. Tiada apa yang penting dan segera. Sekiranya tidak menelefon pun saudara tidak kehilangan apa-apa. Tetapi kita mendapat tahu rakan kita itu ahli perniagaan berjaya dan menawarkan kita satu peluang perniagaan yang sungguh lumayan! Untung, bukan? Oleh itu, jangan melecehkan ‘kuasa’ yang ada pada tugasan D ini.

No comments:

Post a Comment