Thursday, June 16, 2011

DOA 3


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Para sahabat dan anak cucu yang dirahmati sekalian. Marilah kita sama-sama mendengar tazkirah yang bertajuk SEBAB DOA TIDAK DIPERKENANKAN OLEH ALLAH. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi :

ادعوا الله وانتم موقنون بالاجابة . واعلموا ان الله تعالى لا يستجيب دعاء من قلب غافل

“Berdoalah kamu kepada Allah dengan keadaan penuh yakin penerimaanNya. Dan hendaklah kamu ketahui Allah tidak akan memperkenankan doa hati orang yang lalai”

Hati yang lalai atau disebut hati yang ‘ghaflah’ ketika berdoa merupakan sebab doa seseorang tidak diperkenankan oleh Allah. Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang lalai ketika berdoa ? Hati yang lalai ketika berdoa ialah hati yang tidak khusyuk dan tidak bersungguh-sungguh ketika berdoa. Hati yang lalai ketika berdoa ialah hati dan fikirannya melayang kepada perkara yang lain. Hati yang lalai ialah ketika berdoa ia bercerita dan membuat bising. Hati yang lalai ialah tidak menadah tangan ketika ia berdoa. Inilah tanda-tanda hati seseorang itu lalai ketika berdoa. Kalau kita memiliki sifat-sifat hati yang lalai ini, ketika berdoa, bermakna doa yang sering kita lakukan tidak memberi makna dan erti ke arah perubahan sikap, tindakan dan perlakuan dalam kehidupan kita sehari-hari.

Para pelajar dan guru sekalian. Ada satu kisah yang berlaku pada zaman nabi Musa a.s. yang menceritakan bahawa Allah tidak memperkenankan doa hambanya ketika ia sedang berdoa, sedangkan hatinya masih teringatkan kambing-kambingnya. Pada suatu masa Nabi Musa a.s. berjumpa dengan seorang lelaki berdoa dengan penuh merendah diri kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Lalu Nabi Musa a.s. berkata : “Wahai tuhanku! Kiranya lelaki ini bermohon sesuatu kepadaku nescaya aku tunaikan permohonannya”. Lalu Allah berfirman : “ Rahmat dan kasihan belasku kepadanya lebih daripada engkau lagi. Lelaki itu berdoa kepadaku tetapi hatinya bersama kambing-kambingnya. Sesungguhnya aku tidak akan terima doa seseorang hamba kepadaku sedang hatinya semasa berdoa di sisi orang lain.

Marilah sama-sama kita mengikut adab-adab ketika berdoa. Berdoa dengan menadah tangan, menyapu muka dengan tapak tangan setelah selesai berdoa. Berdoa dengan penuh khusyuk dan dengan perasaan merendah diri serta mengetahui apa yang didoakan. Berdoa dengan hati yang sedar. Menjaga adab ketika berdoa seperti tidak bercakap-cakap dan tidak membuat bising. Semoga dengan beradab ketika kita doa, Allah akan memperkenankan doa kita. Kerana Allah telah berfirman dalam surah al-Mukmin : Ayat 60.

وقال ربكم ادعونى استجب لكم

Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah dan mintalah kepada-Ku. Aku akan perkenankan permintaan kamu.

Bahkan Allah murka kepada kita sekiranya kita tidak mahu meminta kepadanya seperti sabda Rasulullah s.a.w.

من لم يسأل الله يغضب عليه

Sesiapa yang tidak mahu meminta sesuatu dari Allah, nescaya Allah akan murka terhadapnya”

وبالله التوفيق والهدايه والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

No comments:

Post a Comment