Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Saturday, August 6, 2011

MUSAFIR




KITA SEBENARNYA SEORANG MUSAFIR
YANG SENTIASA MENGASUH PERJALANAN
(Untuk yang mengerti)

Retak-retak jalur rasa
menyentuh hujung fikirku
selembar desah menegurku
segalanya mengingatkanku
pada usia
dan mentafsir kehidupan
yang sebenarnya adalah sebuah kesementaraan
dan aku serupa seorang musafir yang singgah sebentar
di suatu pengkalan

melepas lelah
kemudian akan mengasuh perjalanan
berbaring di atas erti kewujudan.

Di depan masih didandan makna.

Sunday, June 12, 2011

HIDUP SATU ANUGERAH


Hidup ini bukanlah suatu jalan yang mendatar dan ditaburi bunga-bungaan melainkan adakalanya ia disirami airmata dan juga darah.

Anda tentunya pernah mendengar cerita kanak-kanak yang berjalan dalam tidurnya. Pernahkah anda sendiri mengalaminya? Orang berjalan dalam tidur tidak sedar apa yang dilakukannya. Bila ditegur tidak menjawab, berjalan dengan mata terpejam, terkapai-kapai bila dikejutkan daripada lenanya. Mungkin selepas itu, dia akan kembali semua ke katil untuk meneruskan tidurnya.

Begitu juga dengan kehidupan ini. Sesetengah orang masih lagi tidak sedar apa yang dilakukannya dalam kehidupan ini. Mereka seolah-olah sedang tidur sambil berjalan dalam realiti kehidupan yang dilalui. Mereka hanya sedar apabila diberitahu masa untuk pencen dan berhenti daripada kerja sudah tiba. Mereka hanya berasa sudah tua apabila melihat dalam banyangan cermin pada hakikatnya uban di kepala sudah memutih.

Elakan diri daripda menjadi orang seperti ini. Jangan biarkan diri terumbang-ambing. Sedangkan anda mempunyai banyak pilihan dan peluang dalam kehidupan ini. Layarilah kehidupan dengan penuh makna. Sesungguhnya kehidupan anda adalah makna yang anda berikan. Berikan yang terbaik. Berikan yang terhebat.

Saturday, June 11, 2011

HIDUP IBARAT GEMA



Pertemuan dengan bekas pelajar cukup memberi kesan di kotak pemikiran Abi. Dia seorang pelajar China. Dia memberitahu selepas berakhir zaman persekolahan barulah dia faham dan mengerti apa yang Abi sampaikan semasa sekolah dulu. Apa cikgu kata betul dan untuk membantu dan menolong pelajar. Membantu pelajar membuat pilihan dan menggarap peluang demi untuk menjadi insan yang terbaik. Insan yang terhebat.
Ini membuat Abi teringat sebuah cerita. Analoginya dalam cerita Hidup Ibarat Gema.
Seorang kanak-kanak perempuan yang comel begitu marah kepada ibunya hingga hilang kecomelannya dan dia menjerit, “Saya benci awak, saya benci awak.” Perkataan ibu lenyap dari mulutnya kerana terlalu marah. Begitulah sekiranya marah menguasai diri. Kanak-kanak, mahu pun orang dewasa boleh jadi begitu. Oleh kerana takut dihukum kanak-kanak itu lari keluar dari rumah. Dia lari ke belakang rumahnya dan mendaki bukit. Dia menjerit lagi di situ, “Saya benci awak, saya benci awak,” gema suaranya terdengar, “Saya benci awak, saya benci awak.” Inilah kali pertama dia mendengar suara bergema. Dia menoleh ke kanan, tiada siapa di situ. Dia menoleh ke kiri, tiada siapa di situ , dan dia menoleh ke belakang juga tidak siapa di situ. Dia ketakutan dan kembali ke pangkuan ibunya untuk mendapat perlindungan dan berkata bahawa terdapat seorang budak nakal di atas bukit di belakang rumah yang menjerit “Saya benci awak, saya benci awak.” Ibunya faham dan meminta anaknya kembali ke sana dan menjerit, “Saya sayang awak, saya sayang awak.” Kanak-kanak tadi kembali ke sana dan menjerit, “Saya sayang awak, saya sayang awak,” dan terdengarlah gema suaranya, “Saya sayang awak, saya sayang awak.” Ini menjadi satu pengajaran kepada kanak-kanat tersebut. Bahawa hidup ibarat gema. Kita memperolehi kembali apa yang kita berikan.