Saturday, June 11, 2011

HIDUP IBARAT GEMA



Pertemuan dengan bekas pelajar cukup memberi kesan di kotak pemikiran Abi. Dia seorang pelajar China. Dia memberitahu selepas berakhir zaman persekolahan barulah dia faham dan mengerti apa yang Abi sampaikan semasa sekolah dulu. Apa cikgu kata betul dan untuk membantu dan menolong pelajar. Membantu pelajar membuat pilihan dan menggarap peluang demi untuk menjadi insan yang terbaik. Insan yang terhebat.
Ini membuat Abi teringat sebuah cerita. Analoginya dalam cerita Hidup Ibarat Gema.
Seorang kanak-kanak perempuan yang comel begitu marah kepada ibunya hingga hilang kecomelannya dan dia menjerit, “Saya benci awak, saya benci awak.” Perkataan ibu lenyap dari mulutnya kerana terlalu marah. Begitulah sekiranya marah menguasai diri. Kanak-kanak, mahu pun orang dewasa boleh jadi begitu. Oleh kerana takut dihukum kanak-kanak itu lari keluar dari rumah. Dia lari ke belakang rumahnya dan mendaki bukit. Dia menjerit lagi di situ, “Saya benci awak, saya benci awak,” gema suaranya terdengar, “Saya benci awak, saya benci awak.” Inilah kali pertama dia mendengar suara bergema. Dia menoleh ke kanan, tiada siapa di situ. Dia menoleh ke kiri, tiada siapa di situ , dan dia menoleh ke belakang juga tidak siapa di situ. Dia ketakutan dan kembali ke pangkuan ibunya untuk mendapat perlindungan dan berkata bahawa terdapat seorang budak nakal di atas bukit di belakang rumah yang menjerit “Saya benci awak, saya benci awak.” Ibunya faham dan meminta anaknya kembali ke sana dan menjerit, “Saya sayang awak, saya sayang awak.” Kanak-kanak tadi kembali ke sana dan menjerit, “Saya sayang awak, saya sayang awak,” dan terdengarlah gema suaranya, “Saya sayang awak, saya sayang awak.” Ini menjadi satu pengajaran kepada kanak-kanat tersebut. Bahawa hidup ibarat gema. Kita memperolehi kembali apa yang kita berikan.

No comments:

Post a Comment