Aku adalah seorang anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah. Diriku diberikan pendidikan agama secara terus menerus. Sejak kecil, aku diajar untuk mengenali Islam. Tadikaku adalah sekolah agama, di peringkat sekolah kebangsaan, aku dimasukkan ke sekolah agama. Sekolah menengah ku juga disisipkan pelajaran tambahan Bahasa Arab dan Kelas Kemahiran Al-Quran. Pokoknya, aku memang bertuah kerana diberikan nafas Islam dalam hidupku.
Aku menginjak awal remaja, seterusnya cukup umur untuk diwajibkan menunaikan solat. Namun, hatiku berasa berat untuk menunaikan solat. Aku hanya mengangguk apabila ibu bapaku bertanya apakah aku sudah menunaikan solat. Aku mengunci diriku di dalam kamar buat beberapa ketika dan keluar hanya untuk memberitahu yang kononnya aku sudah solat. Pernah juga ibu bapaku ragu dengan kenyataanku, namun aku berjaya meyakinkan mereka.
Beberapa program motivasi telah aku sertai, namun semuanya hanya berjaya menanamkan rasa untuk solat dalam diriku untuk masa yang sangat singkat. Selepas itu, aku teruskan tabiat lamaku. Aku lebih rela menipu daripada menunaikan solat. Betapa kuatnya pengaruh syaitan ke atas diriku.
Hari berganti hari. Hatiku sering dilanda resah tanpa sebab. Kadang kala, aku rasa ingin menangis, namun tiada alasan mengapa. Diriku terasa sedih, pilu, gelisah dan kosong. Perasaan itu semakin kuat kesannya apabila aku bersendirian. Namun, tak terlintas dalam hatiku apa sebabnya.
Satu petang maghrib, aku melihat adikku melepak dan bersembang di birai katil. Aku berasa agak pelik kerana sepatutnya sekarang mereka sudah solat, lalu aku mengarah mereka untuk mengambil wudhu' dan pergi untuk menunaikan solat. Dengan langkah longlai, mereka menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan seterusnya menunaikan solat.
Mungkin sudah ketentuan Allah, sedang aku melihat adik-adikku khusyuk solat, terdetik di benakku, " Kenapa aku menyuruh adik-adikku bersembahyang sedangkan diriku tidak sembahyang?".
Tiba-tiba hatiku luruh. Aku diam tanpa kata. Perasaan sebak memenuhi rongga dadaku. Ya, benar kata benakku. Aku menyuruh adikku menunaikan solat walaupun mereka belum akil baligh, tapi aku yang sepatutnya menyembah Allah yang Maha Esa tidak pula menunaikan kewajipanku. Tanpa ku sedari, air mata luruh di pipi.
Pantas kakiku menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu', dengan rasa keinsafan yang terbit dalam sanubari, aku mengangkat takbir untuk pertama kalinya dengan hati yang penuh ketenangan. Setiap rukukku, sujudku terasa begitu bermakna. Bacaan Al-Fatihahku terasa begitu sayu. Betapa sebenarnya rohaniku rindu pada Allah. Betapa jiwaku sebenarnya meronta ingin menghadap Allah. Betapa sebenarnya aku mahu solat.
Tidak lama kemudian, tiba pula bulan Ramadhan. Aku bertekad untuk belajar memenuhi solat 5 waktu sepanjang bulan itu. Aku melawan nafsuku semata-mata untuk menunaikan solat. Hatiku menjadi lebih tenteram. Jiwaku tenang. Tiada lagi keresahan merundung jiwa. Kini aku tahu mengapa hati sering dibelenggu kesedihan. Aku rindukan Allah. Aku terlalu merinduiNya...
Kini, aku merasakan hari-hariku lebih bermakna dengan kehadiran rakan baik baruku, SOLAT. Aku berharap hidupku akan terus dipenuhi solat, tak kisahlah yang wajib atau yang sunat. Amin.
No comments:
Post a Comment