Monday, June 6, 2011

PARADIGMA


Hari ini Abi ke Pusat Servis Toyota di bandar Penggaram Batu Pahat. Tidak berapa jauh, lebih kurang 2.5 km dari rumah Abi. Kereta Abi ada gangguan sedikit. Abi duduk tenang menunggu anak Abi yang ke-2, Hafiz untuk menjemput Abi. Kereta Abi diminta ditinggalkan di Pusat Servis Toyota hingga tengah hari esok dijangka selesai kerja-kerja membaik pulihnya.

Ketenangan Abi betul-betul terganggu dengan tingkah laku dua orang kanak-kanak, seorang perempuan dan seorang lagi lelaki. Abi membuat telahan, mereka adik beradik. Kanak-kanak lelaki itu abang yang umurnya sekitar 1o tahun dan kanak-kanak perempuan itu adik dan umurnya sekitar 6 tahun.

Kanak-Kanak ini membuat bising dan agak agresif. Mereka berlari dalam Pusat servis tersebut dan menjadikan kasut mereka sebagai bola. Mereka melemparkan kasut mereka dengan menggunakan kaki dengan cara seperti seorang pemain bola sepak menendang bola. Kerap kali kasut mereka melambung tinggi dan menghentam ke dinding kaca Pusat Servis tersebut. Anak-anak itu kadang kala berteriak ke sana sini.

Abi dengan penuh kasih sayang cuba menegurnya, tetapi niat Abi terbantut bila menyedari ibu bapa kanak-kanak tersebut ada berhampiran dengan Abi. Ibu bapa mereka langsung tidak mempedulikan tingkah laku dan gelagat anak-anak mereka. Amat sukar untuk tidak berasa kurang selesa dan menahan rasa marah. Abi tidak percaya bahawa ibu bapa mereka tidak peka sehingga membenarkan anak-anaknya berkeliaran tanpa menegur mereka, tanpa bertanggungjawab. Kelihatan orang di sekeliling agak gelisah dan ketenangan mereka terganggu, dan pandangan mereka kerap tertumpu kepada kanak-kanak itu.

Akhirnya Abi dengan penuh sabar dan menahan perasaan, Abi berpaling kepada ibu bapa anak-anak itu dan bertanya, " Tuan, anak-anak tuan sedang menganggu orang lain. Dapatkah tuan mengawal mereka sedikit?"

Ibu bapa anak-anak itu seakan-akan baru menyedari situasi itu dan menjawab secara perlahan, "Oh, ya, Saya patut mengawal mereka. Tapi mereka kanak-kanak kan. Saya ingat mereka tak tahu apa nak buat."

Dapatkah bayangkan perasaan Abi pada masa itu? Paradigma Abi terus beranjak. Tiba-tiba melihat secara berlainan, dan oleh sebab Abi melihat secara berlainan, Abi pun berfikir secara berlainan, Abi rasa berlainan, Abi cuba bertindak secara berlainan. Lalu Abi bersabar, sabar itu indah. Dalam hati ada taman, teringat kata-kata isteri Abi.

No comments:

Post a Comment